DETROIT – Cadillac menutup teka-teki barisan pemandu mereka apabila mengumumkan Sergio Perez sebagai pelumba kedua pasukan itu untuk saingan Formula Satu (F1) musim 2026.
Pemandu Mexico berusia 35 tahun itu akan bergandingan dengan Valtteri Bottas, sekali gus melengkapkan barisan pelumba Cadillac yang bakal menjadikan musim depan sebagai tahun bersejarah dengan kembalinya grid F1 melebihi 10 pasukan sejak 2016.
“Kami mahu barisan berpengalaman. Perez dan Bottas mempunyai lebih 500 perlumbaan serta pelbagai kemenangan Grand Prix antara mereka, satu kombinasi diyakini mampu membawa kestabilan,” kata ketua pasukan, Graeme Lowdon.
Bagaimanapun, bekas pelumba F1, Juan Pablo Montoya berpandangan Cadillac tidak boleh bergantung lama kepada Bottas dan perlu segera memikirkan pengganti yang lebih muda untuk dijadikan tonggak masa depan.
Cadillac turut menerima kritikan kerana tidak menurunkan bakat baharu pada musim debut, terutama ketika musim 2026 bakal menyaksikan perubahan besar peraturan teknikal yang sepatutnya dijadikan ruang eksperimen.
Perez dijangka mula berintegrasi lebih awal dengan pasukan menerusi sesi ujian kereta lama Ferrari tahun ini, sebelum kerjasama enjin rasmi bersama pembekal Itali itu bermula musim depan.
Dalam masa sama, bekas rakan sepasukannya di Red Bull, Max Verstappen mengalu-alukan kepulangan Perez ke grid.
“Saya sentiasa serasi dengan Checo (Perez). Jika dia masih bermotivasi, saya fikir ini pilihan tepat walaupun bersama pasukan baharu. Anda lihat saja ketika dia di Force India atau Racing Point, dia sentiasa bawa pulang mata penting buat pasukan,” katanya. – AGENSI