NEWCASTLE – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe menggesa benteng pertahanannya agar tidak leka walaupun sesaat menjelang pertemuan getir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool di St. James Park awal pagi esok.
Bagi Newcastle, pertemuan itu amat penting dalam usaha meraih tiga mata penuh ke atas juara bertahan tersebut yang ketika ini masih berharap untuk menandatangani penyerang mereka, Alexander Isak.
Bagaimanapun, Howe tidak mahu fokus anak-anak buahnya terjejas dengan spekulasi perpindahan itu, sebaliknya memberi tumpuan untuk ‘merantai’ bintang baharu Liverpool, Hugo Ekitike.
“Saya amat menggemari corak permainan Hugo dan saya memang memantau perkembangannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Malangnya dia memilih untuk menyertai Liverpool daripada Newcastle.
“Anda sendiri dapat menyaksikan kualitinya dalam aksi Piala Perisai Komuniti dan juga ketika menentang Bournemouth. Jadi saya harap kami tidak menjadi mangsa seterusnya,” kata Howe.
Newcastle sebelum ini hangat dikaitkan membeli Ekitike tetapi penyerang berusia 23 tahun itu memilih Liverpool dengan yuran perpindahan bernilai £69 juta (RM391.20 juta) baru-baru ini.
Biarpun tanpa Ekitike dan Isak yang masih memberontak tidak mahu beraksi, Newcastle terpaksa mengharapkan sentuhan pemain-pemain lain untuk mencatat kemenangan selepas hanya seri tanpa jaringan dengan Aston Villa minggu lalu.
Kini, beberapa nama dikaitkan dengan Newcastle untuk mengisi posisi penyerang utama seperti penggempur Brentford, Yoane Wissa dan Jorgen Strand Larsen (Wolverhampton Wanderers). – AGENSI