PUTRAJAYA – Persatuan Taekwondo Kukkiwon Malaysia (MKTA) menggesa agar satu penilaian semula dilaksanakan terhadap keperluan pengeluaran pensijilan oleh Taekwondo Malaysia (TM) terhadap atlet negara.
MKTA mendakwa sijil keluaran badan induk itu hanya terpakai untuk kejohanan domestik seperti Sukan Malaysia (Sukma), namun tidak mempunyai nilai jika atlet ingin mengambil bahagian kejohanan diperingkat antarabangsa.
Presiden MKTA, Datuk Dr. T. Arasu berkata, bahawa hanya sijil yang dikeluarkan oleh Kukkiwon di Korea Selatan diiktiraf untuk penyertaan dalam kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
“Kami dimaklumkan bahawa hanya sijil tertentu sahaja diterima untuk menyertai kejohanan dalam negara seperti Sukan Malaysia (Sukma). Namun, untuk bertanding di peringkat antarabangsa, atlet memerlukan sijil yang dikeluarkan oleh Kukkiwon dari Korea Selatan. Ini bermakna, TM mengeluarkan sijil buatan sendiri yang tidak laku di luar negara.
“Kini, atlet yang ingin bertanding dalam negara tetap perlu memiliki sijil TM bagi melayakkan diri, walaupun sudah memiliki pengiktirafan antarabangsa. Pastinya akan menimbulkan beban kewangan kepada atlet kerana perlu memiliki dua sijil berasingan.
“Lebih membimbangkan, mereka menggunakan logo WT tanpa kebenaran. Jika diikutkan, hanya ahli gabungan rasmi WT dibenarkan menggunakan logo itu untuk tujuan promosi, bukan untuk menjual sijil. Tindakan ini melanggar garis panduan WT.
“Jelas, isu ini kini menjadi kebimbangan awam kerana jika ibu bapa mengetahui perkara ini, pasti mereka kecewa kerana akhirnya anak-anak mereka memiliki sijil yang tidak diiktiraf. Sebab itu, kita memandang serius,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sehubungan itu, MKTA menuntut campur tangan segera daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk menyiasat perkara ini selain akan mengutus surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bagi mendapatkan penjelasan dan tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pengerusi Teknikal TM, R. Dhanaraj tampil menafikan segala tuduhan yang dilemparkan oleh MKTA dan beliau mempertahankan kewujudan sijil TM sebagai satu alternatif yang lebih murah dan mudah diakses oleh atlet tempatan yang tidak mempunyai perancangan untuk bertanding di luar negara.
Menurut Dhanaraj, hanya sekitar satu peratus atlet taekwondo Malaysia yang bersaing di peringkat antarabangsa. Justeru, TM tidak mewajibkan pemilikan sijil Kukkiwon yang kosnya boleh mencecah RM420 sekeping.
“Hanya sekitar satu peratus atlet Malaysia yang bertanding di luar negara. Sebab itu TM tidak mewajibkan sijil Kukkiwon kerana boleh boleh menelan kos AS$35 (RM147) jika atlet melalui kami (TM), tetapi harga tersebut boleh meningkat sehingga AS$70 (RM294) hingga AS$100 (RM420) jika mereka melaluinya melalui kelab.
“Sijil TM hanya berharga kira-kira RM60, Oleh itu, tuduhan kononnya kami mengaut untung besar tidak benar,” jelasnya.
Dhanaraj juga menegaskan bahawa dasar pensijilan TM telah dibentuk berdasarkan rundingan bersama Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan menasihatkan agar tiada unsur paksaan dikenakan ke atas atlet.
Menjawab isu penggunaan logo WT, beliau menyatakan bahawa TM mempunyai kebenaran bertulis daripada badan dunia itu untuk menggunakannya bagi tujuan rasmi.
“Kami ada surat rasmi daripada WT yang membenarkan penggunaan logo bagi tujuan rasmi. Tuduhan ini tidak berasas,” katanya. -KOSMO! ONLINE