KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi muncul sebagai perintis dalam pembangunan teknologi jalan raya pintar di Asia Tenggara menerusi integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem infrastruktur negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan AI dalam sektor berkenaan bukan sahaja mampu meramalkan kecacatan jalan sebelum ia berlaku, malah berupaya mengoptimumkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan serta mengurangkan pelepasan karbon.
“Visi kita bukan semata-mata membina jalan raya, tetapi mencorak masa depan infrastruktur negara dengan sistem saling terhubung, berkualiti dan mampan.
“Ini bukan soal pembinaan jalan semata-mata, tetapi pembinaan negara ke arah meningkatkan daya saing ekonomi, kesejahteraan sosial dan kepimpinan serantau,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Soft Launch Konvensyen Penyenggara Jalan SeMalaysia dan Ekspo Teknologi Jalan Raya dan Trafik ASEAN 2025 di The Gallery, Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau, semua pihak berkepentingan termasuk agensi awam, pemain industri, rakan teknologi dan rakyat dijemput menyertai acara MRMC 2025 dan MyARTTE 2025 yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 November depan di MITEC.
“Inilah platform untuk kita pacu masa depan jalan raya negara agar kekal relevan, lestari dan mendahului perubahan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.