fbpx
MBAPPE (No. 10) berjaya menjaringkan dua gol ketika menewaskan Oviedo dalam aksi La Liga awal pagi tadi. - Foto ihsan Real Madrid

La Liga: Real Madrid teruskan momentum kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

OVIEDO – Real Madrid meneruskan kempen La Liga dengan bergaya apabila menewaskan pendatang baharu, Real Oviedo 3-0 hasil dua jaringan Kylian Mbappe dan satu gol lewat Vinicius Junior awal pagi semalam.

Mbappe memecah kebuntuan pada minit ke-37 selepas menerima hantaran Arda Guler sebelum melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti yang terus menewaskan penjaga gol Aaron Escandell.

Namun, gol itu mengundang rasa tidak puas hati penyokong tuan rumah apabila mereka mendakwa Aurelien Tchouameni melakukan terjahan keras ke atas Leander Dendoncker sebelum serangan balas dimulakan.

Pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak 2002 itu berlangsung sengit apabila Oviedo bertahan dengan disiplin dan hampir menyamakan kedudukan selepas percubaan Kwasi Sibo singgah di tiang gol.

Real akhirnya menggandakan kelebihan pada minit ke-83 apabila Vinicius mencuri bola di tengah padang sebelum melepaskan hantaran kepada Mbappe yang tenang menyempurnakan peluang untuk gol keduanya malam itu.

Tidak lama kemudian, Mbappe hampir melengkapkan hatrik tetapi rembatan jauhnya berjaya ditepis cemerlang Escandell dan Thibaut Courtois turut diuji apabila menafikan percubaan Haissem Hassan menerusi aksi menyelam menakjubkan.

Ketika permainan memasuki masa kecederaan, Vinicius yang tidak dikawal dalam kotak penalti tenang melepaskan rembatan ke penjuru gawang untuk menutup kemenangan 3-0 Los Blancos.

Kemenangan itu sekali gus mengesahkan reputasi Real sebagai pencabar utama kejuaraan musim ini dengan gandingan Mbappe dan Vinicius jelas memberi amaran awal kepada pesaing lain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI