HULU SELANGOR – Sebuah kilang stor penyimpanan wayar harness di Jalan Ipoh, Batang Kali musnah terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.45 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba pada pukul 5.07 pagi, api sedang marak melibatkan bangunan berstruktur besi berkeluasan 100 x 80 kaki persegi dengan anggaran 80 peratus terbakar.
“Operasi berjaya dikawal pada pukul 5.45 pagi dengan bantuan anggota dari BBP Bukit Sentosa, Rawang dan Batang Kali. Kerja-kerja overhaul sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu. – KOSMO! ONLINE