KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura sepakat menjalin kerjasama baharu melibatkan operasi menyelamat sekiranya berlaku insiden kapal atau kapal selam di laut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu penting kerana Singapura merupakan jiran terdekat yang berupaya memberikan bantuan segera, yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak dalam menghadapi sebarang bencana di laut.
“Dalam pertemuan ini, kita menandatangani satu bentuk kerjasama melibatkan aspek operasi menyelamat sekiranya berlaku insiden membabitkan kapal atau kapal selam. Ia wajar kerana Singapura merupakan jiran terdekat dan kerjasama ini dapat memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan tersebut di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Menurut beliau, hanya beberapa negara ASEAN memiliki aset kapal selam termasuk Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura, justeru kerjasama tersebut amat penting terutama dalam menghadapi bencana atau insiden di laut.
Katanya, kedua-dua pihak turut membincangkan persediaan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) serta ADMM-Plus yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dalam tempoh dua bulan lagi.
“Antara perkara yang ditekankan termasuk usaha memastikan keselamatan infrastruktur bawah laut seperti kabel tenaga dan komunikasi yang menjadi penghubung penting antara negara-negara di rantau ini. Jika ia tidak dilindungi, ia boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada kita,” katanya.
Menurutnya, perbincangan turut menyentuh kerjasama dalam bidang keselamatan siber, perkongsian pengalaman berkaitan ancaman baharu serta penggunaan teknologi moden seperti dron dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).
“Kita juga sependapat bahawa ASEAN perlu kekal stabil, aman dan tidak membiarkan konflik dalaman, termasuk melibatkan Thailand dan Kemboja, berpanjangan. Usaha penyelesaian secara aman serta gencatan senjata perlu diperkukuhkan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia.
Lawatan ini menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara jiran melalui pelbagai pengisian diplomatik yang bermakna.
Pertemuan tersebut merangkumi perbincangan yang konstruktif bagi memajukan kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala. – KOSMO! ONLINE