PETALING JAYA – Keadaan kesihatan semakin membimbangkan, pelakon Soffi Jikan akan dipindahkan ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor bagi menerima rawatan selanjutnya berkaitan jangkitan kuman pada bahagian jantung.
Perkara tersebut dikongsi rakannya yang dikenali sebagai Hasyim dalam satu hantaran TikTok semalam.
“Jangkitan kuman pada jantung.
“Kemas kini 24 Ogos, Soffi Jikan dipindahkan ke Hospital Serdang.
“Keadaan kesihatan terkini agak serius. Semoga cepat sembuh,” katanya dalam video tersebut.
Tambah Hasyim dalam ruangan komen, pelakon yang terkenal dengan trademark ‘sengat’ itu juga sering membuat siaran langsung TikTok dan orang ramai boleh menyumbang (menerusi pemberian ‘gift’) sekiranya berkemampuan.
“Dia akan buat siaran langsung TikTok selalu, boleh sokong jika berkemampuan,” ujarnya membalas komen netizen.
Perkongsian tersebut dibanjiri ratusan komen yang rata-ratanya mendoakan aktor tersebut,
“Semoga Soffi cepat sembuh, rindu nak lihat lakonannya.
“Semoga Allah SWT merahmati dan berikan kesembuhan,” komen netizen.
Sebelum ini, Soffi atau nama sebenarnya Mohammad Shoffi Jikan, 54, dalam satu temu bual menberitahu dia menerima rawatan untuk jangkitan kuman pada hati namun perlu berdepan dengan penyakit berkaitan jantung.
Difahamkan, Soffi telah menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh sejak Julai lalu selepas mengalami jangkitan kuman pada hati.
Dia juga pernah dimasukkan ke hospital yang sama akibat dijangkiti kencing tikus dan demam denggi. – KOSMO! ONLINE