SEGAMAT – Penduduk di sekitar daerah ini cemas apabila terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom sebelum disusuli gegaran akibat gempa bumi awal pagi semalam.
Jemaah yang sedang menunaikan solat subuh di beberapa surau dan masjid pula terkejut apabila turut merasai gegaran.
Seorang penduduk, Firdaus Zazali, 27, berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat seakan-akan letupan bom pada pukul 6.13 pagi dan kemudian berlaku gegaran dalam beberapa saat sahaja.
“Sewaktu kejadian, saya baru menunaikan solat subuh dan sedang bersiap untuk pergi kerja di Kampung Lubok Batu.
“Saya ingat ada rumah yang terbakar atau meletup, saya tinjau dekat luar rumah, tetapi tak ada apa-apa berlaku.
“Tidak lama selepas itu, saya rasa ada gegaran beberapa saat dan ia hilang,” katanya ketika ditemui di Taman Laksamana di sini semalam.
Firdaus yang bekerja pembantu kedai makan berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pertamanya.
“Mula-mula gempa berlaku, saya panik juga, tetapi gegaran tu hanya beberapa saat dan sekali sahaja.
“Selepas itu, saya lihat di sosial media penduduk lain juga berkongsi rasa gegaran sama,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Tan Boon Eng, 40, dia juga mengalami kejadian itu dan bergegas keluar rumah selepas gegaran.
“Saya selalu bangun awal pagi dan bersenam di luar rumah serta mengambil udara segar waktu pagi.
“Tiba-tiba dengar bunyi seakan-akan guruh di langit sebelum rumah bergegar seperti mahu roboh. Saya takut dan keluar rumah untuk lihat apa terjadi. Gegaran sudah berhenti. Ia jadi sekejap sahaja,” ujarnya.
Seorang suri rumah, Halimah Shamsuddin, 42, pula berkongsi merasai gegaran kali kedua pada pukul 9 pagi semalam.
“Saya tengah memasak di dapur tiba-tiba terasa gegaran di kawasan dapur. Saya telefon suami minta pulang ke rumah di Buloh Kasap kerana saya takut,” katanya.
Imam Surau Kampung Sanglang, Saniman Abdul Samad, 63, berkata, ketika kejadian dia sedang mengimamkan solat subuh kira-kira pukul 6.13 pagi.
“Kami semua sedang solat subuh dan tengah tahiyat akhir sebelum memberi salam, kami rasakan gegaran yang agak kuat.
“Selepas itu bunyi dentuman kuat. Kami semua terkejut dan kemudian nampak kemasan siling surau jatuh di dalam ruang solat.
“Mujur tidak kena jemaah ketika solat. Alhamdulillah Allah lindungi kami semua. Ini adalah pengalaman pertama saya merasa gempa bumi,” katanya.
Jemaah surau berkenaan, Basir Pairin, 67, berkata, dia juga terdengar bunyi dentuman kuat dan gegaran berlaku.
“Kami semua yang sedang solat menghabiskan solat terlebih dahulu kerana sudah berada di tahiyat akhir.
“Selepas itu, kami berpandangan sesama sendiri dan tertanya-tanya bunyi apa yang kuat serta gegaran gempa bumi itu.
“Meremang bulu roma saya selepas gegaran itu kerana tidak pernah merasainya sepanjang hidup saya kejadian seperti itu,” katanya.