ALOR SETAR – Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anggota polis berpangkat koperal pada 7 Ogos lalu.
Mereka ialah Muhamad Badry Muhamad Azami, 24, Mohamad Hafiz Khazli, 26, Badri Iman Abdul Nasir, 25, dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34.
Keempat-empat tertuduh yang bekerja sendiri mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dari Johor itu.
Mereka didakwa secara bersama membunuh Mohd. Hafizul Izham Mazlan, 35, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, di sini pada pukul 3.43 petang, 7 Ogos lalu.
Pendakwaan diljalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan memerintahkan keempat-empat tertuduh ditahan di Penjara Alor Setar. Kes akan disebut semula pada 23 November ini.
Sementara itu, ahli keluarga tertuduh memenuhi pekarangan mahkamah dan melihat empat tertuduh dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah.
Seorang daripada mereka sempat memaklumkan kepada tertuduh akan melantik peguam untuk mewakilinya.
Kosmo! pada 7 Ogos lalu melaporkan Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, maut dipercayai dirempuh dan digilis kenderaan utiliti sukan jenis Lexus yang dinaiki empat penjenayah ketika melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Golf.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada anggota badan. – KOSMO! ONLINE