fbpx
Gambar hiasan

Dewan Rakyat: RUU Pekerja Gig 2025 bukan berasaskan khayalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan, Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bukan dibuat atas angin, imaginasi atau khayalan.

Beliau sebaliknya menegaskan, Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dirangka selepas melalui proses libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yakin draf undang-undang tersebut mampu memberikan perlindungan asas yang lebih baik kepada golongan pekerja gig.

“RUU ini bukan dibuat atas angin, imaginasi ataupun khayal Kesuma semata-mata. Ia dirangka setelah mendapatkan maklum balas dari semua pihak.

“Sudah tentu ia tidak dapat memuaskan semua pihak, tapi semua pihak telah kita rujuk,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Steven Sim berkata, beliau berharap semua pihak terutama Ahli Parlimen menyokong supaya RUU itu diluluskan bagi memastikan kebajikan kira-kira 1.2 juta pekerja gig.

Ujar beliau, Ahli Parlimen wajar mengetepikan perbezaan politik demi menjayakan usaha memperkukuh kebajikan pekerja ekonomi digital.

“Ini supaya seramai 1.2 juta pekerja ini tidak lagi bertarung nyawa untuk bangunkan ekonomi negara dan berikan keselesaan kepada hidup kita,” katanya.

RUU Pekerja Gig 2025 yang bertujuan memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan pekerja sektor berkenaan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut digubal bagi menyediakan rangka perundangan khusus untuk melindungi hak pekerja dalam sektor ekonomi digital termasuk penghantar makanan, pemandu e-hailing serta penyedia perkhidmatan bebas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI