fbpx
Nie Ching ketika di Dewan Rakyat hari ini. - Foto JAPEN

Dewan Rakyat: MCMC jalankan audit kualiti, jamin pematuhan MSQoS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan audit kualiti secara berperingkat di seluruh negara bagi memastikan pematuhan berterusan oleh pemberi perkhidmatan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang telah ditetapkan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, lokasi-lokasi audit dikenal pasti melalui sumber aduan dan data pengujian orang awam yang merekodkan banyak keputusan di bawah piawaian MSQoS.

“Berdasarkan hasil audit 2024, sebanyak 268 Arahan Suruhanjaya melibatkan 219 lokasi telah dikeluarkan di bawah subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada pemberi perkhidmatan kerana ketidakpatuhan MSQoS.

“Dari 1 Januari hingga 31 Julai 2025, sebanyak 2,781 ujian kualiti telah dijalankan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 1,684 ketidakpatuhan MSQoS melibatkan 815 lokasi keseluruhannya.

“Pemberi perkhidmatan telah berjaya membuat penambahbaikan pada 462 ketidakpatuhan sehingga patuh terhadap Standard Mandatori manakala baki 1,222 ketidakpatuhan masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya kerana melibatkan naik taraf menara sedia ada atau pembinaan menara baharu yang mengambil masa lebih lama,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai kaedah pemantauan dan penalti yang dikenakan kementerian terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal memberi liputan memuaskan khususnya di luar bandar.

Tambahnya, SKMM juga akan menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan pematuhan dan penambahbaikan telah dilaksanakan oleh pihak pemberi perkhidmatan.

“Ketidakpatuhan Arahan Suruhanjaya tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 53 Akta 588,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI