KUALA LUMPUR – Penganjuran Forum Tenaga Perniagaan ASEAN (AEBF) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober depan bakal menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi daripada pelbagai pemegang taruh industri tenaga ASEAN.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, delegasi terbabit termasuk rakan dialog dan badan tenaga antarabangsa yang akan membincangkan pembangunan sektor tenaga secara menyeluruh.
Menurut beliau, forum yang dianjurkan bersempena Kepengerusian Malaysia-ASEAN 2025 itu dijangka memainkan peranan penting dalam agenda integrasi tenaga serantau, pembiayaan lestari serta peralihan tenaga yang adil dan inklusif.
Tambah beliau, AEBF 2025 juga diyakini akan menjadi medan utama menarik pelaburan hijau berimpak tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau.
“Kementerian komited menjadikan forum ini sebagai medan perkongsian strategik merentas sempadan bukan sahaja dari sudut dasar dan teknologi, tetapi juga pelaburan dan rantaian nilai serantau,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN- Simpang Renggam) berhubung strategi kerajaan menjadikan Forum Tenaga ASEAN 2025 sebagai medan utama menarik pelaburan hijau berimpak tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau.
Mengulas lanjut, Akmal Nasir berkata, forum itu juga platform terbaik bagi mempercepat usaha mewujudkan Grid Tenaga ASEAN (APG) serta menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu secara bersepadu.
Kata beliau, AEBF 2025 juga diyakini menjadi platform terbaik dalam usaha mempertingkatkan daya tahan tenaga dan keterjaminan bekalan elektrik di rantau ini.
Ujar beliau, forum itu juga akan menyediakan landasan kukuh untuk Malaysia memacu agenda peralihan tenaga semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.
“Usaha ini akan menyokong aspirasi ASEAN untuk menjadi hab bekalan elektrik hijau selain memperkukuh sasaran Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050,” katanya. – KOSMO! ONLINE