BANGKOK – Seorang warga emas di Sri Narong, wilayah Surin menikam menantunya menggunakan pisau selepas lelaki itu didakwa cuba melakukan perkara tidak senonoh kepadanya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Dalam kejadian 17 Ogos lalu, wanita berusia 61 tahun itu berkata, dia berasa marah apabila menantunya bertindak keterlaluan selepas minum minuman keras.
Menurut wanita tersebut, dia, anak perempuannya dan mangsa minum bersama-sama sebelum lelaki itu mengajak dia melakukan hubungan terlarang.
“Lelaki jahat. Awak sudah berkahwin dengan anak saya, namun masih mahukan saya,” kata wanita tersebut.
Disebabkan berang dengan tindakan menantunya, wanita tersebut menyerang mangsa menggunakan pisau, menyebabkan lelaki itu cedera.
Beberapa penduduk yang ditemui berkata, mereka pernah mendengar lelaki itu mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan minat terhadap ibu mentuanya.
Namun, mereka mengakui tidak menyangka bahawa lelaki itu akan bertindak di luar batasan.
Sehari selepas dibenarkan keluar dari hospital, lelaki itu mempertahankan dirinya dengan berkata bahawa dia menyayangi isterinya dan tidak berminat terhadap ibu mentuanya.
Namun, tiada tindakan lanjut diambil dalam kes itu. – AGENSI