SHAH ALAM – Sebanyak 37 buah kereta dan tujuh buah motosikal hangus dalam kebakaran di sebuah bengkel kenderaan di Seksyen 24 di sini, malam tadi.
Dalam kebakaran itu, seorang lelaki yang merupakan pekerja bengkel berusia 30-an melecur di tangan disebabkan ingin mengalihkan kenderaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut kira-kira pukul 11.31 malam dengan 21 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi pemadaman itu.

Katanya, kesemuanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Bukit Jelutong bersama dua unit Fire Rescue Tender (FRT) dan masing-masing sebuah unit Pasukan Tindak Balas Kebakaran Darat (LFRT) dan jentera tangki.
“Kebakaran melibatkan sebuah bengkel kenderaan yang berkeluasan 50 x 100 kaki persegi musnah hampir keseluruhannya.
“Ia turut memusnahkan 37 buah kereta pelbagai jenis dan tujuh buah motorsikal yang berada di bangunan tersebut,” katanya hari ini.
Jelasnya, seorang perkerja bengkel tersebut telah melecur di tangan disebabkan ingin mengalihkan kenderaan.
Tambahnya, mangsa telah diberikan
rawatan awal dan dilaporkan stabil sebelum dibawa ke hospital oleh pihak keluarganya.
“Kebakaran dapat dikawal pukul 12.36 tengah malam tadi sebelum operasi ditamatkan pukul 2.31 pagi. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE