PETALING JAYA – Pengacara dan usahawan terkenal, Noor Neelofa, 36, memilih untuk mengunci mulut soal hubungan adiknya, Ameera Khan dengan pelakon popular Indonesia, Jefri Nichol.
Menurut Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, dia enggan menjawab soalan peribadi membabitkan ahli keluarganya kerana bimbang akan menimbulkan salah faham.
“Saya rasa nak simpan komen itu untuk diri sendiri. Ada perkara yang tidak perlu dijawab untuk orang ramai kerana boleh mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.
“Lebih banyak yang kecam kalau kita jawab pun. Jawablah apa pun, tetap ada pihak yang akan kecam. Jadi lebih baik saya senyap dan tidak jawab,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru-baru ini.
Ditebak adakah hubungan cinta Ameera dan Jefri direstui oleh keluarganya, Neelofa menegaskan bahawa isu perhubungan bukan sesuatu yang wajar diperkatakan kerana bersifat peribadi.
Dalam pada itu, berbicara tentang kontroversi yang dihadapi oleh Ameera, Neelofa mengatakan adalah tidak adil untuk membandingkan dirinya dan adiknya kerana mereka berada dalam dua bidang berbeza.
“Sebenarnya tak boleh nak samakan saya dengan Ameera sebab kami dalam bidang yang berbeza. Zaman sekarang dunia media sosial, sesiapa pun boleh jadi terkenal.
“Dulu orang memang ambil tahu tentang selebriti saja, jadi tidak boleh bandingkan dengan adik saya. Dia (Ameera) bukan pelakon, penyanyi atau pengacara,” ujarnya.
Meskipun pernah melalui fasa dilanda kontroversi ketika kerjaya seninya sedang memuncak, kini Neelofa memilih bertenang dan memberi fokus kepada perkara yang penting dalam kehidupannya seperti keluarga serta perniagaannya.
“Syukur kerana saya sudah lalui fasa yang susah dan kini berada di fasa lebih tenang. Saya mahu fokus pada keluarga, perniagaan, dan kehidupan yang memberi ketenangan,” katanya lagi.
Ameera atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan (LMK) sering dikaitkan dengan kontroversi apabila secara terbuka menayangkan kemesraan bersama kekasihnya, Jefri di media sosial. – KOSMO! ONLINE