PETALING JAYA – Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King memulakan kempen Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan gandingan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura di pusingan pertama sebentar tadi.
Meskipun mengakui gugup beraksi pada aksi pembukaan di Adidas Arena, beregu ranking No. 22 dunia itu membuktikan mereka semakin matang menghadapi tekanan apabila mengambil masa hanya 27 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-5, 21-13.
Kemenangan itu juga meningkatkan keyakinan juara Terbuka Macau itu sekali gus memberi isyarat bahawa mereka bersedia memberi saingan terutama di pusingan kedua esok.
“Sebelum perlawanan, kami memang gementar dan teruja. Tapi selepas bermula, kami berjaya kawal emosi dan dapat rentak permainan. Itu yang buat kami rasa lebih yakin.
“Strategi kami untuk set pertama menjadi walaupun kali pertama kami bermain di gelanggang ini. Keadaan angin dan gelanggang juga mencabar, tapi kami dapat cepat menyesuaikan diri,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.
Arif turut mendedahkan mereka hampir melakukan kesilapan taktikal apabila memilih arah angin gelanggang yang kurang sesuai sebelum dibetulkan oleh jurulatih selepas set pertama.
“Perlawanan pertama ini ada kelebihan kerana kami boleh bantu rakan sepasukan dari segi memberikan maklumat tentang keadaan gelanggang dan arah angin,” ujarnya.
Selepas ini, mereka akan berdepan cabaran getir menentang pilihan ke-12 dunia dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh pada pusingan kedua yang berlangsung pada Rabu ini. – KOSMO! ONLINE