PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan menilai kemajuan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Brunei.
Anwar berkata, kedua-dua mereka akan turut membincangkan isu-isu tertunggak demi kepentingan kedua-dua negara semasa keberadaan Baginda di Malaysia.
“Menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang sempena Lawatan Negara selama empat hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Lawatan Negara ini akan turut disusuli dengan Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 yang akan berlangsung pada Rabu di Putrajaya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, beliau dan Sultan Brunei akan turut berpeluang bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan ASEAN.
Menurut beliau, ia supaya kedua-dua negara terus memainkan peranan proaktif dalam memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
“Semoga hubungan erat Malaysia dan Brunei Darussalam akan terus terjalin kukuh, diperkasa dengan semangat persaudaraan dan kerjasama yang berterusan. Insya-Allah,” katanya.
Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia hari ini untuk Lawatan Negara selama empat hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim – KOSMO! ONLINE