SHAH ALAM – Adik kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Saerah tidak sesekali menyesali takdir yang kurang memihak kepadanya untuk berjaya sebagai penyanyi apabila rezeki tersebut kini dianugerahkan Tuhan kepada anak-anaknya.
Lebih membuatkan pemilik nama lengkap Siti Nursairah Tarudin 42, itu mensyukuri nikmat Ilahi apabila bukan hanya anak sulungnya Umairah menunjukkan potensi cemerlang dalam nyanyian, kini darah seni keluarga mereka sedang diteruskan pula anak keduanya, Amad.
“Itulah perancangan Allah, kita tak boleh tahu. Tapi saya bersyukur sangat kerana Allah mengurniakan rezeki dan bakat kepada anak-anak saya.
“Saya tidak rasa sedih sekiranya dulu saya meminati menyanyi sebab percaya pada rezeki Allah.
“Alhamdulillah, rezeki Allah turun pada anak saya jadi kita teruskan sahajalah legasi ini,” katanya kepada Kosmo! Online usai program Talk To My Manager, semalam.
Mengulas mengenai tanggapan segelintir pihak yang mengaitkan anaknya dengan bayangan dirinya, Saerah berharap masyarakat memberi sokongan tanpa membuat perbandingan.
“Itu memang tak boleh tutup mulut orang (anak dikaitkan). Yang penting sekarang, orang di luar sana sokong bakat yang ada dan doa yang terbaik.
“Kita tak perlu nak banding-bandingkan atau bercakap benda yang tak sepatutnya.
“Apa yang terbaik untuk mereka, bakat dia ada pun kita kena sokong,” ujarnya yang kini merupakan pengurus kepada anak lelakinya iaitu Amad dalam program Talk To My Manager.
Dipuji menjaga disiplin, Saerah sememangnya memberikan bimbingan kepada Amad supaya berdisiplin lebih-lebih lagi untuk berada dalam industri seni.
“Saya memang dah bentuk dia disiplin daripada awal dalam bidang ini.
“Sebagai ibu bapa, mestilah kita nak disiplinkan anak kita. Alhamdulillah, saya ajar mereka dan anak-anak faham,” tuturnya.
Semalam, Amad menyampaikan lagu Azimat Cinta dan menduduki tempat teratas dengan markah 88 peratus.
Selain Saerah dan Amad, program tersebut turut disertai Thalita & Shuib, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie serta Liza Hanim & Marsya. – KOSMO! ONLINE