fbpx
Gambar hiasan

6 remaja pukul, londehkan seluar pelajar bebas jaminan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Enam pelajar tingkatan empat yang ditahan selepas dipercayai membuli seorang remaja berusia 15 tahun dengan memukul dan melondehkan seluar mangsa ke paras lutut di sebuah sekolah di sini minggu lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, kesemua remaja yang terlibat dilepaskan sementara menunggu arahan selanjutnya daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, enam remaja tersebut memberikan kerjasama baik sepanjang proses siasatan dijalankan.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah melalui komunikasi dan Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, enam pelajar tingkatan empat ditahan selepas dipercayai terlibat membuli seorang remaja berusia 15 tahun dengan memukul dan melondehkan seluar mangsa ke paras lutut di sebuah sekolah di sini pada 18 Ogos lalu.

Kesemua pelajar itu ditahan susulan laporan yang dibuat mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga di sekolah tersebut kira-kira pukul 2.55 petang keesokan harinya.

Kama Azural berkata, berdasarkan laporan mangsa, remaja itu telah ditumbuk, disiku di kepala dan ditendang pada bahagian punggung oleh lima pelajar tingkatan empat.

“Salah seorang suspek dipercayai bertindak melondehkan seluar sukan yang dipakai mangsa sehingga ke paras lutut.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian kepala selain takut dan trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu oleh suspek yang sama secara berulang kali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI