PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia hanya mahu menikmati permainan menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Paris, Perancis bermula esok hingga Ahad nanti.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu akan beraksi buat kali pertama sejak Mac lalu selepas mengambil keputusan berehat panjang bagi memberi fokus kepada masalah kecederaan dihadapi.
Zii Jia menyuarakan hasrat untuk kembali menyesuaikan diri dengan suasana kompetitif di mana dia dijadualkan menentang pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin di pusingan pertama.
“Sudah beberapa ketika dan Kejohanan Dunia akan menjadi kejohanan pertama saya selepas berehat panjang sebelum ini. Saya tidak akan meletakkan tekanan tinggi kepada diri sendiri.
“Apa yang penting adalah untuk menikmati kepulangan ke gelanggang dan bermain aksi kompetitif. Selain itu, saya mahu menamatkan kempen di Paris tanpa sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan Team Lee Zii Jia semalam.
Bekas juara All England itu mengambil keputusan untuk berehat panjang pada Mac lalu selain memohon perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi meneruskan proses pemulihan kecederaan buku lali kanan.
Bagaimanapun, cabarannya pada Kejohanan Dunia kali ini tidak mudah kerana dijangka berdepan pemain-pemain ternama dalam laluan ke final, termasuk pilihan keempat dari China, Li Shi Feng seawal pusingan kedua.
Sekiranya dapat melangkah lebih jauh, pemain berusia 27 tahun itu diramalkan berdepan pemenang dua pingat emas Sukan Asia, Shi Yu Qi juga dari China di pentas separuh akhir.
Sebelum ini, Zii Jia turut mendapat kata-kata perangsang daripada legenda badminton China, Chen Long yang menasihatkan dia supaya tidak mudah mengalah selain menjadikan kekalahan sebagai pengalaman. – KOSMO! ONLINE














