KEPUTUSAN seri 1-1 dengan Buriram United pada Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025/2026 memberi gambaran jelas buat Selangor FC untuk segera memperbetulkan kelemahan sebelum menghadapi cabaran selepas ini.
Pengendalinya, Katsuhito Kinoshi sendiri mengakui gergasi Thailand itu ‘membantunya’ untuk memperkemaskan pasukan dan berharap pemain dapat mempelajari sesuatu daripada aksi menentang Buriram.
Negeri Sembilan FC (NSFC) yang mencuri perhatian dalam saingan awal Liga Malaysia (Liga M) bakal menjadi lawan seterusnya buat The Red Giants apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
“Sekarang kami berjaya menemui sesuatu dan Buriram United sudah pun ‘beritahu’ kepada kami. Kami belum cukup bagus untuk menang menentang lawan yang bagus seperti Buriram United.
“Selepas aksi berakhir, kami kena melakukan persiapan untuk mengharungi perlawanan seterusnya di liga domestik dan juga di Liga Juara-Juara 2 (ACL 2). Semestinya kami kena berada dalam keadaan bersedia untuk hadapi perlawanan selepas ini,” katanya,
Mantan pengendali Selangor, Nidzam Jamil sudah membuktikan kemampuannya apabila memacu NSFC meledak lapan gol dalam dua aksi awal termasuk ketika tewas 3-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum membbelasah PDRM FC 5-0 di pentas Piala FA.
Menyedari cabaran sukar menantinya selepas ini, Kinoshi menuntut sokongan peminat dan memberikan jaminan bahawa pemainnya akan segera memberi reaksi balas positif.
“Kami perlu berikan reaksi terhadap sokongan peminat dan sekarang kami juga mampu melihat harapan. Kami seri dengan pasukan kuat (Buriram United) dan kini kami kena fokus kepada diri sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE