KANGAR – Sabah terus unggul apabila mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-65 selepas merangkul 19 pingat emas keseluruhan.
Kontinjen Negeri di Bawah Bayu itu turut mengutip 22 pingat perak dan 17 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 56 pingat dalam temasya lima hari di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini.
Selangor menamatkan saingan di tempat kedua dengan 18 emas, 14 perak dan 15 gangsa, manakala Terengganu di tempat ketiga selepas membawa pulang sembilan emas, dua perak dan enam gangsa.
Gelaran Olahragawan MSSM 2025 menjadi milik pelari cilik Selangor, Aidil Sazwan Saidi manakala Olahragawati disandang bintang Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira.
Penyelaras Sukan Olahraga MSS Sabah, Azriansyah Ahmad berkata, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian kali ini meskipun sasaran awal 20 emas tidak tercapai.
“Alhamdulillah, walaupun terlepas satu emas, kita berjaya memecahkan beberapa rekod dan itu memberi keyakinan untuk terus melahirkan atlet pelapis negara,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan berakhir.
Beliau berkata, strategi memberi tumpuan kepada acara padang ternyata berhasil memandangkan acara pecut didominasi negeri seperti Selangor dan Kedah.
“Untuk pecut kita masih dalam proses pembangunan, tetapi bagi jarak jauh kita sudah ada atlet berpotensi seperti Alya Marissa Maizul Anuar yang cemerlang dalam 1,500 meter dan 3,000 meter,” jelasnya.
Katanya lagi, beberapa atlet muda Sabah kini dikenal pasti untuk diketengahkan ke pentas lebih besar termasuk Sukan Malaysia (Sukma) akan datang. KOSMO! ONLINE














