KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan sebarang pelanggaran terhadap tatacara proses perolehan kerajaan akan dianggap sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang apabila Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUU PK) dibentangkan minggu depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya prosedur perolehan termasuk tender tidak dipatuhi, ia boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan akta baharu itu sebagaimana diumumkan Perdana Menteri.
“Kerajaan pada minggu depan akan membentangkan akta rang undang-undang perolehan yang mana seperti Perdana Menteri umumkan dimana mereka yang melanggar proses tatasyarat perolehan ia dianggap sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dihukum.
“Maknanya kalau prosedur proses tidak diikuti dalam sesuatu tender ke itu adalah satu kesalahan dan boleh dihukum melalui akta itu jadi kita sama-samalah tunggu akta itu dibentangkan pada minggu depan, pada hari esok ke lusa,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu turut menjelaskan, teguran Perdana Menteri berhubung isu perolehan itu juga adalah merujuk kepada soal umum.
“Ia (teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) merujuk kepada soal umum, oleh kerana majlis itu (Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi LIMA) ada kaitan dengan perolehan kementerian pertahanan,” katanya lagi.-KOSMO! ONLINE