PETALING JAYA – Projek57 yang kini telah mencapai usia sepuluh tahun selepas ditubuhkan telah berusaha menyatukan hati seluruh rakyat dari segenap lapisan masyarakat sambil membantu komuniti yang memerlukan, terutamanya anak-anak muda Orang Asli.
Salah satu inisiatif paling bermakna yang diusahakan oleh Projk57 adalah pembinaan prasekolah pertamanya di di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan yang bermula dengan pengambilan kira-kira 15 kanak-kanak daripada komuniti Orang Asli yang terpinggir.
Sekolah tersebut terus beroperasi sehingga ke hari ini, dengan pendaftaran dijangka bertambah saban tahun dan kurikulumnya menekankan kaedah pembelajaran menerusi permainan dan interaksi sosial, dengan guru-guru komuniti mencetus minat terhadap pembelajaran bagi mempersiapkan murid-murid memasuki sekolah rendah.
Sebagai susulan kepada kejayaan ini, Projek57 kini membina prasekolah kedua di Kuala Betis, juga di Gua Musang dan proses pembinaan prasekolah itu berada di peringkat akhir dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan akan datang.
Pengasas Bersama Projek57, Syed Sadiq Albar berkata, pihaknya berbesar hati dengan usaha sama dan juga harapan yang dibawa hingga ke tahun ke-10.
“Prasekolah ini akan memberi peluang kepada kanak-kanak kurang mampu, tanpa mengira latar belakang mereka, untuk berkembang maju dan memecahkan kitaran kemiskinan, sesuatu yang lebih sukar bagi kanak-kanak Orang Asli.
“Pembelajaran pada usia awal yang sewajarnya akan membolehkan mereka menimba ilmu, membina
keyakinan diri dan memupuk kepercayaan bahawa mereka boleh membina masa depan yang lebih baik bagi diri sendiri dan juga masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Berkat sokongan berterusan daripada rakan-rakan seperjuangan termasuk Prudential Ampri Cleanroom Services (PACS), Projek57 telah memperuntukkan pelaburan besar untuk membangunkan prasekolah ini dari peringkat asas, memastikan ruang yang selamat dan sesuai untuk pembelajaran awal, serta penyediaan sajian harian kepada
kanak-kanak.
Selain itu, pembinaan prasekolah dibiayai oleh Dana Pendidikan Projek57 dan juga hasil jualan cenderahati, termasuk ‘Unity Ribbon’, Kemeja-T dan produk lain yang dipakai dengan bangganya oleh rakyat Malaysia di seluruh negara.
Pengasas Bersama Projek57 Collin Swee menerangkan, Kemeja-T dan Unity Ribbon bukan sekadar barangan yang dibeli untuk tujuan murni tetapi kesannya boleh dirasai secara lebih meluas, dengan
membantu rakyat yang memerlukan.
Dalam tempoh sedekad lepas, lebih daripada 30,889 kemeja-T dan kira-kira 400,000 ‘Unity Ribbon’ telah dijual. -KOSMO! ONLINE