fbpx
PERTARUNGAN amatur kanak-kanak menjadi titik permulaan MFN untuk melangkah ke pentas lebih berprestij pada masa depan.

MFN mahu jadi ‘kilang’ muay thai, tinju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJOHANAN Mega Fight Night (MFN) boleh dianggap sebagai ‘kilang’ melahirkan bintang tempur tempatan acara muay thai dan tinju untuk diketengahkan ke pentas antarabangsa.

Presiden MFN, Max Lee berkata, kejohanan itu bukan sahaja untuk memeriahkan arena seni bela diri tempatan, sebaliknya membentuk laluan pembangunan lengkap buat petarung muda sebelum melangkah ke pentas lebih besar.

Katanya, laluan itu bermula daripada kategori amatur, separa profesional sehinggalah ke gelanggang profesional, sekali gus menjadi pentas asas ke kejohanan berprestij seperti ONE Championship.

“Kami bermula dengan pertarungan amatur kanak-kanak. Saya sudah jalankan kejohanan ini selama kira-kira dua tahun. Untuk tahun ini, walaupun bertarung buat kali pertama, mutu saingan mereka sangat baik.

“Kami mahu MFN jadi batu loncatan. Di sini mereka boleh bina teknik mahupun keyakinan sebelum melangkah ke pentas besar. Itu matlamat utama kami,” katanya.

Tambahnya, apa yang lebih membanggakan adalah peningkatan kualiti petarung baharu termasuk kategori kanak-kanak yang beraksi penuh berani biarpun kali pertama di gelanggang.

“Tahap teknikal mereka sangat tinggi dan membuktikan sukan muay thai Malaysia berkembang pesat serta mampu menyaingi peringkat antarabangsa.

“Kita menyediakan gelanggang mengikut peraturan dan diperakui oleh Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) serta Persekutuan Tinju Malaysia (PTM). Dengan adanya kejohanan seperti ini banyak bakat muda mampu dilahirkan,” tambahnya.

Menurutnya, pihaknya kini dalam persiapan untuk menganjurkan tiga aksi Grand Final MFN International Mega 8 yang dijadual berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 6 Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN