KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyalurkan dana tambahan sebanyak RM100 juta bagi membantu usaha pembangunan semula Gaza yang musnah akibat kekejaman rejim Zionis Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu adalah kesinambungan kepada dana RM100 juta yang telah diluluskan kerajaan dua tahun lalu.
“Malam ini saya maklumkan, Kerajaan Malaysia akan menyalurkan lagi dana sebanyak RM100 juta sebagai permulaan,” katanya ketika berucap pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza, malam ini.
Pada Oktober 2023, Anwar mengumumkan Malaysia akan menyalurkan dana lebih RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza dan disalurkan ke tabung kemanusiaan dan perubatan Palestin.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru rakyat, syarikat-syarikat serta para pedagang di negara ini agar tampil menghulurkan sumbangan.
“Saya akan minta rakan-rakan, syarikat-syarikat di negara kita untuk turut mengambil perhatian…. Mereka (syarikat) telah bantu sebelum ini ada yang beri pelbagai bantuan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengecam tindakan rejim Zionis Israel yang sanggup menyekat makanan dan ubat-ubatan daripada sampai kepada rakyat Palestin.
“Orang lapar di sempadan tidak dibenarkan masuk makanan, orang sakit pula sangat memerlukan ubat tetapi ubat-ubatan disekat.
“Apakah jenis manusia yang sanggup melakukan perkara sedemikian? Itu bukan sifat manusia, bahkan lebih buruk daripada haiwan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau akan terus menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa.
“Kalau dahulu saya hanya mampu bersuara dengan nada keras, sekarang saya sudah menjadi Perdana Menteri.
“Saya gunakan kuasa yang ada sedaya upaya berbicara dengan setiap pemimpin sama ada pemimpin Islam, Jepun, China atau India.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya tidak pernah melupakan saudara-saudara saya di Gaza,” katanya. – KOSMO! ONLINE