GEORGE TOWN – Penang FC sekali lagi gagal memburu kemenangan pertama mereka apabila tumpas dengan Kuala Lumpur City (KL City) FC 1-2 pada perlawanan ketiga saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan bermula garang apabila masing-masing berentap merebut gol pertama pada perlawanan ketiga malam ini.
Skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail dilihat cuba menggandakan asakan bagi memperoleh gol pertama di laman sendiri, bagi mengubat lara penyokong yang hadir selepas tewas pada perlawanan pertama 10 Ogos lalu.
Bagaimanapun, pasukan kendalian Ketua jurulatih KL City, Risto Vidakovic tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertama mereka menerusi sepakan penyerangnya, Safawi Rashid pada minit ke- 34.
Gol pembukaan pemain skuad kebangsaan itu merupakan jaringan peribadinya dalam saingan Liga Super musim ini.
Cubaan pemain pertahanan Penang FC, Stefano Brundo untuk menyamai jaringan menerusi tandukan ke gawang lawan bagaimanapun tersasar ke sebelah kiri pintu gol.
Selang dua minit kemudian, pemain tengah Skuad Harimau Kumbang menerusi rembatan tinggi sayap tengah, Danilo Sipovac juga tidak berhasil.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat masa pertama dibunyikan.
Memasuki babak kedua, penantian Penang FC untuk menyamai jaringan terhasil menerusi sepakan percuma kapten pasukan, Brundo pada minit ke-48.
Meskipun dikawal rapat oleh duo pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco dan Lambert Declan namun pemain dari Argentina itu berjaya mengawal dirinya dengan meledakkan gol yang dinanti-nantikan penyokongnya.
Tidak menunggu lama, pertahanan KL City, Mohamad Kamal Azizi sekali lagi menjaringkan gol kedua buat pasukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-77.
Peluang The City Boys menggandakan gol ketiga mereka menerusi sepakan luar kotak pemain tengah, Syamer Kutty Abba tidak dikira disebabkan berlaku kekasaran di padang.
Keputusan berakhir 2-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan KL City adalah kali kedua dalam saingan Liga Super manakala Penang FC masih gagal memburu kemenangan pertama pada musim ini.
Pada perlawanan pertama, Penang FC tumpas 3-0 dengan Terengganu FC dan seri 1-1 ketika menentang Melaka FC. – KOSMO! ONLINE