KETUA jurulatih Melaka FC, K. Devan mengakui kecewa apabila misi untuk melakar kemenangan pertama Liga Super musim ini tidak kesampaian selepas seri tanpa jaringan bertemu Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) di Stadium MP Selayang, semalam.
Menurut Devan, ketumpulan jentera serangan menjadi salah satu faktor pasukannya hanya mampu meraih dua keputusan seri dan mahu kelemahan tersebut diperbaiki pada perlawanan akan datang.
“Saya lihat kita tidak dapat membuat penyudah yang baik dengan peluang kita cipta. Namun, prestasi pasukan kali ini lebih baik berbanding dengan perlawanan yang lepas di mana kita kalah dalam saingan Piala FA dengan Penang FC.
“Barisan benteng pertahanan kita telah menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi apa yang merisaukan ketika ini adalah ketumpulan jentera serangan.
“Secara jujur, ini kali pertama kita cuba gandingan Danilo (Magalhaes) dengan Patrick (Gama) dan mereka perlukan masa untuk serasi dan memahami taktikal pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan.