BEIJING – Seorang wanita simpanan perlu membayar 10 peratus daripada jumlah tuntutan keluarga seorang lelaki yang mati ketika bersamanya di dalam bilik sebuah hotel di China, lapor portal berita MSNews semalam.
Sebelum ini, mereka telah menyaman wanita itu serta pihak hotel sebanyak 550,000 yuan (RM334,000) dan sebuah mahkamah turut menambah 70,000 yuan (RM41,300) untuk menampung kos pengebumian.
Ketika kejadian, Zhou dan wanita simpanannya dikenali sebagai Zhuang tidur bersama di sebuah hotel di daerah Pingnan, selatan China pada tahun lalu.
Namun, dalam penghakiman, mahkamah memutuskan bahawa kematian Zhou berpunca daripada penyakit sedia ada.
Sebuah hospital tempatan juga mengesahkan dia meninggal dunia akibat serangan jantung.
Mahkamah memutuskan bahawa Zhuang hanya boleh dipertanggungjawabkan secara sekunder kerana dia tidak mengetahui keadaan kesihatan Zhou.
Namun begitu, mahkamah menegaskan bahawa dia telah terlepas peluang untuk menyelamatkan pasangannya apabila meninggalkan bilik hotel selama sejam untuk mengambil ubat darah tinggi di rumahnya sendiri.
Selain itu, mahkamah turut menambah bahawa wanita itu sedar kekasihnya seorang lelaki berumah tangga, sekali gus dianggap melanggar tata tertib awam dan kesusilaan.
Justeru, mahkamah memutuskan bahawa Zhuang perlu membayar 10 peratus daripada jumlah tuntutan keluarga si mati iaitu 62,000 yuan (RM37,000).
Sementara itu, pihak hotel tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana kematian berlaku di dalam bilik peribadi dan bukannya di kawasan awam. – AGENSI