MELAKA – Aktres dan ikon terkenal dari China, Fan Bingbing menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, hari ini.
Penganugerahan itu diberikan sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Rustam.
Fan yang mempunyai kira-kira 63 juta pengikut di Weibo dan 4.1 juta pengikut Instagram berkata, pihaknya amat menghargai pengiktirafan diberikan dan akan terus membantu memperkenalkan Melaka sebagai negeri pelancongan di peringkat antarabangsa.
“Saya berasa sangat teruja dan ini adalah penghormatan yang amat besar. Saya akan terus memperkenalkan Melaka dan berusaha memainkan peranan sebagai ‘jambatan’ persahabatan Melaka dengan China.
“Saya akan kembali semula ke Melaka pada September nanti kerana ada kerjasama baharu,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, Fan sebelum ini telah dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka dan kehadirannya selama tiga hari pada Jun 2024 berjaya melonjakkan sektor pelancongan negeri apabila terdapat 1.2 bilion carian mengenai dirinya dan Melaka.
Personaliti berusia 44 tahun itu turut tampil berkebaya nyonya ketika mempromosikan Melaka, sekali gus persalinan tradisi tersebut turut mendapat perhatian ramai dengan rata-rata memuji potongan busana berkenaan.
Selain filem China, Fan pernah membintangi filem adiwira Hollywood, ‘X-Men: Days of Future Past’, selain filem Perancis dan Korea. Pada 2017, beliau menghiasi kulit majalah Time dan beliau turut dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh. – KOSMO! ONLINE