KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan pelantikan bekas anggota tentera Israel (IDF) ke dalam operasi perkhidmatan rangkaian media sosial TikTok di New York, Amerika Syarikat, adalah tidak boleh diterima.
Menurutnya, bantahan rasmi sudah dihantar kepada Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, kerana individu terbabit pernah melatih tentera rejim Zionis yang jelas terlibat dalam jenayah perang terhadap rakyat Palestin.
“Saya hantar mesej terus kepada CEO TikTok menyatakan bantahan tegas terhadap langkah ini. Saya katakan kepadanya, mengapa perlu melantik seseorang yang pernah melatih tentera Israel ke dalam organisasi yang kononnya mahu memerangi antisemitisme?
“Saya tidak boleh terima, tidak wajar sebuah syarikat besar bersekongkol dengan IDF yang jelas terbabit dalam genosid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gaza Time Tunnel teknologi realiti maya (VR) sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dataran Merdeka, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr. Sani Araby dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia merangkap Pengarah Konvoi Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Mengulas jawapan balas TikTok, Fahmi berkata, Zi Chew mendakwa pelantikan itu hanya melibatkan operasi di New York dan tiada kaitan dengan rantau Asia.
“Bagi saya, alasan itu tidak masuk akal kerana ia tetap memberi kesan kepada integriti syarikat dan dasar kandungan mereka,” katanya.- KOSMO! ONLINE.