MANCHESTER – Pengendali Tottenham Hotspur, Thomas Frank enggan mendabik dada selepas anak-anak buahnya melakar kejutan dengan menewaskan Manchester City 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.
Pada perlawanan itu, Spurs mengulangi pencapaian cemerlang ketika menang 4-0 di Stadium Etihad musim lalu untuk merekodkan kemenangan kedua di gelanggang keramat The Citizens dengan meraih gol hasil penyudah Brennan Johnson dan Joao Palhinha.
Menurut Frank, prestasi semua pemain cukup luar biasa tetapi apa yang lebih penting adalah benteng pertahanan tidak dibolosi oleh pasukan lawan.
“Saya sangat teruja apabila kita dapat menamatkan saingan tanpa dibolosi. Keputusan ini cukup penting kerana salah satu usaha pasukan ketika ini adalaah meningkatkan kualiti di benteng pertahanan.
“Pujian wajar diberikan kepada pemain yang mempamerkan mentaliti luar biasa kerana bukan mudah untuk menang di Etihad. Namun, saya tidak mahu terlalu gembira dan banyak lagi perkara yang kita boleh perbaiki,” katanya.
Sementara itu, Frank menganggap pasukannya kini sudah cukup lengkap selepas usaha untuk menandatangani khidmat Eberechi Eze tidak kesampaian apabila bintang Crystal Palace itu memilih menyertai seteru setempat, Arsenal.
“Saya rasa kita mampu berikan saingan positif musim ini. Dua pemain yang baru kita tandatangani seperti Mohammed Kudus dan Palhinha mula berikan impak dengan pasukan dilihat semakin sempurna,” katanya. – AGENSI














