KOTA BHARU – Dua rakan kepada penyanyi Bae Sobar Bae, Eda Ezrin yang dipercayai melakukan perbuatan khianat sehingga wanita tersebut bersama suami dan empat rakan dicekup melibatkan kes dadah di Sungai Golok, Thailand pada November lalu berasal dari Kota Bharu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, identiti kedua-dua suspek termasuk seorang wanita itu sudah dikenal pasti dan usaha menjejak mereka sedang giat lakukan.
“Kedua-dua individu itu berusia dalam lingkungan 30-an. Polis sering ke rumah mereka berdasarkan alamat pada MyKad, namun kedua-dua suspek tiada di situ.
“Usaha mengesan mereka terus dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, maklumat tersebut diperoleh melalui kenyataan yang diberikan oleh Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami, Mohd. Affendi Ahmad, 35, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, semasa mereka ditahan sebaik sahaja masuk ke negeri ini.
Menurutnya, keenam-enam mereka secara konsisten memberikan kenyataan yang sama semasa soal siasat yang dilakukan pada 7 dan 8 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE