SUNGAI BULOH – Seorang wanita maut selepas dipercayai dicekik teman lelakinya yang mendakwa mengalami tekanan kerana sering dikongkong dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Subang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kaunter aduan Balai Polis Kampung Baru Subang menerima panggilan seorang lelaki yang mengaku membunuh wanita akibat tekanan pada pukul 8.54 malam.
“Setibanya di lokasi, polis mendapati seorang lelaki yang merupakan penyewa bilik keluar dan memberitahu terdapat seorang lagi lelaki bersama teman wanitanya berusia 52 tahun menyewa bilik di bahagian belakang rumah tersebut.
“Selepas pintu bilik diketuk, seorang lelaki membuka pintu sebelum pemeriksaan menemui seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri atas katil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua pembantu pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh mengesahkan mangsa telah meninggal dunia lebih empat jam sebelum ditemui.
Susulan itu, polis menahan suspek berusia 47 tahun dan direman tujuh hari sehingga 30 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes ini dan yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azraai Mohamad Amin di talian 018-9696941 atau hadir ke balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE