JAGUH pecut Selangor, Danish Irfan Tamrin berpuas hati apabila berjaya meraih pingat emas acara 200 meter bawah 18 tahun (B-18) lelaki Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Pelari berusia 18 tahun itu mencatat masa 21.67 saat (s) untuk menewaskan pencabar lain, namun gagal memperbaharui rekod peribadinya iaitu 21.43s.
“Prestasi tidak terlalu bagus, saya menang tapi tak dapat perbaharui rekod peribadi. Namun, saya bersyukur kerana mampu meraih pingat emas,” katanya.
Menurutnya, kejayaan di MSSM menjadi suntikan semangat untuk menghadapi Terbuka Malaysia, juga akan diadakan di Perlis hujung bulan ini, sebelum beraksi dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.
“Saya sedang membuat persiapan untuk acara 100m dan 200mdi Sukma. Emas MSSM ini beri semangat baharu buat saya,” ujarnya.
Sementara itu, Claudia Mae McManus Sing dari Sabah mencuri perhatian apabila menjuarai 200m B-12 perempuan dengan catatan 27.58s.
Atlet cilik berusia 12 tahun itu membuktikan usia muda bukan penghalang untuk menyerlah sekali gus mengukuhkan reputasi Sabah sebagai lubuk pelari berbakat.
Bagi kategori 200m B-12 lelaki, Aidil Sazwan Saidi dari Selangor pula menepati ramalan apabila membawa pulang emas dengan catatan 23.56s.
Secara keseluruhan, kejohanan kali ini memperlihatkan keseimbangan antara bakat cilik dan jaguh berpengalaman, sekali gus mengukuhkan MSSM sebagai medan mencungkil bintang masa depan. – KOSMO! ONLINE