fbpx
FIGUEIREDO (tengah) berjaya meledak dua gol ketika menewaskan Lion City malam kelmarin. - RAJA JAAFAR ALI

‘Sengat’ JDT kurang tajam – Figueiredo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BINTANG warisan negara, Joao Figueiredo menyifatkan ‘taring’ Harimau Selatan kurang tajam ketika menundukkan Lion City Sailors 3-1 pada perlawanan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin.

Figueiredo, 29, berkata, Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu berpesta gol pada perlawanan itu sekiranya setiap serangan yang dilancarkan menemui sentuhan penyudah yang tajam.

Bekas penyerang Istanbul Basaksehir yang meledak dua gol pada perlawanan itu berkata, tuan rumah mendominasi babak pertama, namun mensia-siakan deretan peluang untuk mencipta jaringan yang lebih besar.

“Kami mengawal perlawanan pada separuh masa pertama dengan baik dan melancarkan serangan bertali arus, seharusnya kami menjaringkan lebih banyak gol.

“Secara keseluruhannya, semua pemain telah memberikan aksi yang terbaik di sepanjang perlawanan ini,” katanya yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Satu lagi gol dijaringkan Arif Aiman Hanapi bagi menghadiahkan tiga mata berharga buat JDT yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan tersebut.

Menurut Figueiredo, dia sangat gembira kerana dapat membantu JDT dan berharap pasukan kendalian Xisco Munoz itu mampu melangkah lebih jauh dalam saingan ACC.

Pemain yang dilahirkan di Sao Paulo, Brazil itu meletakkan perlawanan itu sebagai penanda aras dan semakin berkobar-kobar untuk membantu Harimau Selatan menjulang trofi kejuaraan tersebut buat julung kalinya.

“Dengan kualiti yang dimiliki pasukan, saya merasakan JDT bukan sahaja mampu mara lebih jauh dan tidak keterlaluan untuk mengatakan pasukan mampu untuk memenanginya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN