KUALA LANGAT – “Abang sudah solat ke belum?”
Demikian perbualan terakhir Anuar Kamil, 44, sebelum anaknya, Muhamad Adib Anuar, 16, maut selepas kereta yang dinaiki remaja itu terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting di sini hari ini.
Nahas pada pukul 3.50 pagi itu turut mengorbankan tiga lagi mangsa iaitu Hariz Nazri, 19, Muhamad Danish Shamsul Sharizan, 16, dan Muhammad Danish Farhan Alias, 19.
Muhammad Danish Farhan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Banting. Dua lagi mangsa iaitu Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15, dan Danish Haikal Nazri, 17, cedera. Mereka dirawat di hospital sama.
Anuar yang bekerja sebagai pemandu peribadi berkata, kali terakhir dia bertemu arwah anaknya di rumah di Batu 10, Kebun Baru kira-kira pukul 7.15 malam.
Katanya, dia sempat berpesan kepada anak sulung daripada tiga beradik itu supaya solat maghrib sebelum keluar bermain takraw.
“Selepas solat, saya lihat dia keluar bawa stokin tanpa makan malam. Arwah memang memang aktif bermain sepak takraw, tiga kali seminggu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Banting hari ini.
Bercerita lanjut, dia mengetahui anaknya terbabit kemalangan pada pukul 6.45 pagi selepas dihubungi rakan remaja itu.
“Selang 15 minit kemudian, saya dimaklumkan anak sudah meninggal dunia. Luluh hati saya. Sepatutnya, kami akan pergi bercuti ke Perak minggu depan,” ujarnya.
Sementara itu, isterinya, Shaffiah Jemagin, 41, memaklumkan, arwah Muhamad Adib ada meminta wang bagi tujuan barbeku bersama rakannya.
“Saya hanya mampu beri RM5 kepadanya dan wang itu masih tersimpan rapi dalam dompet arwah. Memang sedih sebab dia anak yang baik dan rajin.
“Apa yang saya tahu dia penumpang kereta tersebut dan tercampak semasa kejadian,” ujarnya.
Jenazah Muhamad Adib dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 10 Kebun Baru, Telok Panglima Garang. – KOSMO! ONLINE














