fbpx
Gumpalan api di ruang udara yang tercetus ekoran insiden kebakaran pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik TUDM di Kuantan malam kelmarin.

Saya dengar bunyi letupan, ingatkan perang – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Penduduk di bandar raya ini gempar dengan kejadian letupan disusuli gumpalan api melibatkan pesawat F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas ketika berlepas di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam kelmarin.

Peniaga kedai makan, Johari Wahab, 35, berkata, dia berasa terkejut dan takut selepas mendengar bunyi letupan diikuti gumpalan api yang menjulang tinggi di ruang udara.

Mengimbau kejadian pada pukul 9 malam itu, Johari berkata, dia terdengar bunyi kuat dan bising yang disifatkan ‘luar biasa’ bagi enjin pesawat yang hendak berlepas diikuti dengan bunyi letupan.

“Saya berniaga di kawasan ini, jadi saya kerap mendengar bunyi pesawat, tetapi kali ini (malam kelmarin) bunyi kuat dan bising macam rosak.

“Saya tidak pernah dengar bunyi seperti tu. Selepas itu saya dengar bunyi letupan dan nampak api. Selepas itu berlaku letupan kali kedua disusuli gumpalan api.

“Saya bersama pelanggan yang berada di kedai memang terkejut melihat api menjulang tinggi atas pokok. Kami tidak sangka pula (rupa-rupanya) pesawat terhempas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Johari kerap mendengar bunyi enjin pesawat berikutan kedainya yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Menurut Johari, sejurus selepas kejadian itu, dia terdengar bunyi siren jentera bomba memasuki kawasan lapangan terbang menyebabkan suasana menjadi bertambah cemas.

Katanya, orang ramai mula memenuhi pekarangan kedainya untuk melihat kejadian sebenar yang berlaku di lapangan terbang berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk, Razif Ahmad, 52, memberitahu, semasa kejadian, dia berada di kedai makan berhampiran lapangan terbang ber­kenaan.

Lelaki itu mengakui terkejut mendengar bunyi letupan diikuti dengan gumpalan api. Pada mulanya, dia mahu lari menyelamatkan diri kerana menyangka berlaku peperangan.

“Ingat perang, sebab (sebelum ini) berlaku perang Thailand- Kemboja. Apapun semoga pegawai yang terlibat selamat dan ia tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN