KUALA NERUS – Program RXZ Members 7.0 menerima suntikan dana keseluruhan sebanyak RM300,000 termasuk tambahan RM200,000 daripada kerajaan Madani, hari ini.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, pada awalnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi membantu penganjuran program tersebut.
Beliau berkata, Perdana Menteri kemudiannya turut berusaha mendapatkan tambahan RM200,000 lagi hasil sokongan daripada syarikat korporat serta pihak swasta.
“Kita harap bantuan kewangan ini dapat menjadi suntikan semangat kepada penganjur muda untuk terus mengadakan program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya ketika menghadiri majlis perasmian RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini hari ini.
Dalam masa sama, Shamsul turut menegaskan sumbangan itu tidak wajar dianggap bermotifkan politik sebaliknya sebagai tanda sokongan Kerajaan Madani terhadap inisiatif anak muda yang berjaya menghimpunkan ribuan penunggang motosikal dari seluruh negara.
Beliau berkata, Perdana Menteri melihat RXZ Members sebagai platform besar yang menghubungkan rakyat pelbagai latar belakang, ia juga menunjukkan disiplin serta semangat tinggi dalam kalangan anak muda.
Acara kali ini berjaya menarik penyertaan lebih 100,000 peserta termasuk penunggang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE















