fbpx
SITI mengakui berdepan detik sukar apabila memutuskan untuk mendirikan rumah tangga dengan Datuk K.

‘Reda karier menjunam ketika mahu kahwin dengan Datuk K’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan detik paling mencabar dalam hidupnya adalah sebelum membuat keputusan besar untuk mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Mengakui bukan laluan mudah, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, ketika itu dia berdepan dengan pelbagai persepsi peminat serta masyarakat termasuk ada yang merestui malah tidak kurang juga menentang hasrat tersebut.

“Saya tak panggil titik terendah tapi itu adalah saat reda. Apa nak berlaku, berlakulah. Masa tu fasa sebelum jadi isteri.

“Saya maklum Datuk K pernah berkeluarga, jadi bila saya memilih untuk berkahwin dengannya memang peminat pun terbahagi dua.

“Ada yang setuju, ada yang tidak. Saya kata pada diri, okey saya reda kalau kerjaya saya mula menjunam sekalipun, itu semua ketentuan Allah,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Tambah pelantun lagu Sehebat Matahari itu, keputusan untuk bernikah bukan sekadar soal cinta semata-mata, sebaliknya melibatkan masa depan karier seni yang dibina sejak remaja.

Pun begitu, kepercayaan Siti terhadap qada dan qadar Allah menjadi sandaran utama dalam melangkah ke fasa baharu kehidupannya.

“Itulah jodoh yang Allah tetapkan. Saya membina masjid dan apa pun cabaran serta dugaan ketika itu, saya hanya serah pada Allah.

“Rezeki, jodoh, maut semua di tangan Allah. Saya hanya berdoa semoga ditentukan yang terbaik untuk saya,” jelasnya.

Kini, selepas hampir dua dekad bersama, ibu dua anak itu bersyukur dikurniakan suami penyayang, penyokong setia serta pasangan hidup yang berkongsi misi sama dalam membina mahligai.

“Alhamdulillah, perkahwinan kami pun dah hampir 20 tahun. Yang penting pasangan kita menjaga dengan baik, nawaitu sama.

“Insya-Allah, perkahwinan itu hanya Allah yang menentukan. Harapan saya, biarlah berakhir sampai ke jannah,” jelasnya.

Di sebalik luahan itu, rata-rata netizen memuji keteguhan hati Siti selain menjadikan kisah rumah tangganya sebagai inspirasi.

“Contohi Siti Nurhaliza, kekuatan reda dalam ujian cinta mengajar kita supaya percaya pada takdir Allah,” komen netizen.

“Dua dekad perkahwinan bukan mudah. Siti membuktikan kebahagiaan datang daripada keikhlasan hati dan doa,” tulis peminat.

“Kalau artis pun diuji sehebat ini, apatah lagi kita orang biasa. Saya doakan bahagia Siti dan Datuk K sampai syurga,” kata seorang pengguna media sosial.

Untuk rekod, Siti mendirikan rumah tangga dengan Datuk K pada 21 Ogos 2006.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Siti Aafiyah, 7, dan Muhammad Afwa yang kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI