LONDON – Legenda Arsenal, Ian Wright memberi amaran kepada Marcus Rashford bahawa kariernya bakal terus malap sekiranya gagal mempamerkan konsistensi ketika dipinjamkan ke Barcelona musim ini.
Penyerang berusia 27 tahun itu meninggalkan Manchester United pada musim panas lalu selepas tidak lagi mendapat tempat di bawah kendalian Ruben Amorim dan kini beraksi di La Liga bersama The Catalans.
Menurut Wright, perpindahan itu adalah peluang terakhir Rashford untuk menyelamatkan kariernya di pentas tertinggi selepas beberapa musim dibelenggu prestasi tidak menentu bersama The Red Devils.
“Saya sangat terkejut bila dengar ada pihak mengkritik dia. Tetapi saya tetap kata, kalau kali ini tak menjadi untuk dia, ia memang takkan berlaku sampai bila-bila.
“Awak pemain Barcelona, kelab besar dunia. Kalau di sini pun tak dapat konsisten, memang takkan berlaku lagi,” kata Wright.
Bekas penyerang Crystal Palace itu juga mempertahankan Rashford daripada kritikan luar padang, terutama gaya hidup mewah dan aktiviti kebajikan yang sering dijadikan bahan.
“Dengar orang bercakap pasal pakaian dan kereta dia, semua itu memang menyedihkan. Apa yang penting adalah prestasi di padang, bukan benda remeh begitu,” jelasnya lagi.
Rashford membuat penampilan sulung bersama Barcelona minggu lalu apabila masuk sebagai pemain gantian menentang Real Mallorca, namun masih belum diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama oleh Hansi Flick.
Peminat Barcelona menantikan Rashford diberikan lebih banyak minit permainan apabila juara bertahan La Liga itu turun menentang Levante awal pagi esok. – AGENSI