PUTRAJAYA – Polis menegaskan kawasan Putrajaya adalah zon larangan dron sepanjang persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, orang ramai diingatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kebenaran pihak berkuasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar.
“Larangan ini selaras dengan peruntukan Peraturan 143, Peraturan Penerbangan Awam 2016.
“Mereka yang melanggar arahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 206(3) peraturan sama,” katanya dalam kenyataan di hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tembakan meriam sempena sambutan tersebut pada sesi raptai penuh dan acara rasmi.
Menurutnya, raptai penuh akan diadakan pada 29 Ogos bermula pukul 8 pagi di Lot 3C1, Presint 3 (tapak Bazar Ramadan Putrajaya) dengan dua das tembakan, manakala pada hari acara 31 Ogos, sebanyak 14 das tembakan dilepaskan di lokasi sama.
“Penduduk di Putrajaya dan kawasan sekitar dinasihatkan supaya tidak panik atau cemas apabila mendengar bunyi tembakan meriam kerana ia merupakan sebahagian daripada pengisian acara sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Pada masa sama, Aidi Sham turut menasihatkan orang ramai yang hadir ke sambutan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
“Gunakan kemudahan pengangkutan alternatif yang disediakan penganjur seperti perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle bus) dan teksi air (water taxi) untuk keselesaan serta menjimatkan masa perjalanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE