BALATON PARK, Hungary – Jack Miller memberi amaran keras kepada Yamaha supaya segera membuat keputusan mengenai masa depannya dalam MotoGP musim 2026 atau meneruskan langkah bersama pilihan lain.
Pelumba Australia itu menegaskan, tahap kesabarannya sudah memuncak apabila dia masih belum mendapat kepastian daripada Yamaha mengenai statusnya.
Kehadiran bintang Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK), Toprak Razgatlioglu dalam perlumbaan MotoGP dengan mengisi salah satu kerusi di Pramac, menyebabkan masa depan Miller kini menjadi tanda tanya.
“Saya sudah cukup bersabar. Kalau mahu saya, katakan mahu, kalau tidak, nyatakan tidak. Ia jelas. Saya juga ada pilihan lain dan akan bergerak ke depan jika keputusan tidak dibuat segera,” katanya.
Yamaha kini berada dalam fasa pembangunan yang kritikal dengan enjin V4 baharu dijangka digunakan pada musim 2026.
Miller percaya pengalamannya yang luas, termasuk ketika bersama jentera V4 Ducati, akan menjadi aset tidak ternilai untuk projek tersebut.
“Saya mempunyai banyak maklumat untuk diberikan, banyak input untuk disumbangkan dan boleh membantu dalam projek seperti itu.
“Jika mereka tidak dapat melihat nilainya, maka saya faham dan akan beralih kepada sesuatu yang berbeza,” ujarnya.
Miller ketika kini mengumpul 52 mata dan berada di kedudukan kedua terbaik dalam Yamaha selepas Fabio Quartararo dengan Alex Rins di belakangnya.
Sebaliknya, rakan sepasukan di Pramac, Miguel Oliveira yang menandatangani kontrak dua tahun, hanya meraih enam mata musim ini selepas dibelenggu kecederaan.
Antara pilihan masa depan Miller termasuk menyertai WSBK dengan menggantikan Alvaro Bautista di Ducati. – AGENSI