LONDON – Pemain tengah Tottenham Hotspur, Mohammed Kudus menganggap dia masih belum menunjukkan potensi sebenar meskipun menjadi tonggak ketika menewaskan Burnley pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EP) minggu lalu.
Bintang Ghana itu menegaskan, masih banyak perkara yang masih belum dipamerkan dan dia sedia untuk terus menjadi pemain kunci menjelang pertemuan getir menentang Manchester City di Stadium Etihad malam ini.
Kudus berkata, aksi yang ditampilkan minggu lalu hanyalah sebagai permulaan dan dia sedia untuk terus membantu pasukan baharunya bagi mencatat kemenangan kedua musim ini dengan menewaskan City.
“Saya sentiasa cuba melakukan yang terbaik bagi membantu pasukan dan ia memang berada dalam DNA. Bagi saya, ini hanyalah sebagai permulaan kerana masih banyak yang saya boleh lakukan untuk pasukan.
“Aksi EPL boleh dianggap sebagai maraton dan kami tidak boleh tergesa-gesa. Setiap perlawanan sangat penting dan kami akan cuba untuk mendapatkan tiga mata ketika menentang City,” katanya.
Bekas pemain West Ham United itu juga mengakui dia sudah semakin selesa dengan pasukan baharunya, lebih-lebih lagi rakan sepasukan dan penyokong menyambut baik kehadirannya untuk bersama Spurs.
“Saya sangat gembira kerana sudah dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama pasukan. Aksi kompetitif yang ditunjukkan rakan sepasukan, termasuk ketika latihan memang sesuai dengan diri saya,” ujar Kudus. – AGENSI