MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola seolah-olah memberi gambaran bahawa pemain bintang, Rodri mungkin diturunkan bertemu Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam ini.
Rodri yang merupakan pemenang anugerah Ballon d’Or mengalami kecederaan lutut serius pada September tahun lalu sebelum dia mula diturunkan ketika membantu City di saingan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025.
Guardiola berkata, pasukan perubatan City masih lagi memantau perkembangan pemain berusia 29 tahun itu memandangkan dia masih belum pulih sepenuhnya dan belum cergas untuk diturunkan minggu lalu.
“Kecederaan seperti ini biasanya akan disusuli dengan masalah otot dan kami sedang melakukan yang terbaik bagi mengatasi isu tersebut. Sukar untuk kami tentukan berapa perlawanan yang dia perlukan.
“Rodri memang terdesak untuk bermain dan kami sebagai satu pasukan, amat mengharapkan sentuhannya di atas padang. Dia semakin hampir (kembali) dan itu membuatkan saya tersenyum,” katanya.
Bekas pengendali Barcelona itu juga enggan meletakkan sasaran terlalu awal untuk meraih gelaran EPL buat kali ketujuh secara peribadi meskipun ramai menganggap City antara pencabar utama musim ini.
“Kami pernah memenangi enam gelaran (EPL) dan saya tidak pernah cakap City boleh memenangi kejuaraan pada setiap musim. Apa yang penting adalah kami menaruh sepenuh keyakinan kepada pasukan,” ujar Guardiola. – AGENSI














