LONDON – Chelsea kembali menemui rentak kemenangan selepas membelasah West Ham United 5-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stadium London awal pagi tadi.
Meskipun ketinggalan 0-1 di awal perlawanan hasil jaringan Lucas Paqueta, namun juara Piala Dunia Kelab (CWC) itu bangkit dengan meledak lima gol menerusi Joao Pedro, Pedro Neto, Enzo Fernandez, Moises Caicedo dan Trevoh Chalobah.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menyuarakan rasa gembira atas kemenangan besar itu, lebih-lebih lagi mereka beraksi tanpa kelibat Cole Palmer yang digugurkan daripada kesebelasan utama akibat kecederaan.
“Permulaan yang kurang baik hari ini selepas Palmer mengalami kecederaan selain melepaskan gol awal. Bagaimanapun, reaksi yang dipamerkan pemain membuatkan saya sangat kagum.
“Mereka cukup yakin dengan perancangan dibuat untuk perlawanan hari ini. Semua pemain menunjukkan komitmen cukup tinggi ketika menyerang dan bertahan, jadi saya sangat gembira,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga gembira dengan aksi ditunjukkan bintang remaja, Estevao Willian apabila bangkit menebus kesilapan awal yang menjadi punca kepada gol pembukaan perlawanan tersebut.
“Kami bolos satu gol atas kesilapan yang dia lakukan ketika melakukan gerakan. Sebagai seorang pemain muda, dia perlu belajar daripada kesilapan tetapi secara keseluruhan, Estevao bermain cukup baik,” ujar Maresca. – AGENSI















