fbpx
ARSENAL memasang impian besar untuk menjuarai EPL musim ini selepas dikecewakan di tempat kedua tiga kali berturut-turut. - ARSENAL FC

EPL: Arsenal tak sanggup terus ‘dihina’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Pemain pertahanan Arsenal, William Saliba tidak rela lagi pasukan itu terus kempunan untuk menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas muncul naib juara tiga musim berturut-turut.

Situasi itu menyebabkan The Gunners sering menjadi bahan jenaka para peminat di seluruh dunia sehinggakan menggelar kelab itu sebagai ‘Netflix FC’ kerana sentiasa menanti musim baharu untuk meraih sesuatu.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu memulakan saingan musim baharu dengan langkah kanan selepas menewaskan musuh tradisi, Manchester United di Old Trafford minggu lalu, sekali gus meletakkan diri mereka sebagai pilihan.

Saliba menegaskan, sudah tiba masanya untuk dia dan rakan sepasukan membuktikan mereka layak merampas takhta EPL, terutamanya menjelang aksi menentang Leeds United di Stadium Emirates tengah malam ini.

“Memang benar kami menamatkan kempen di tempat kedua tiga tahun berturut-turut dan semua pemain tahu Arsenal masih kurang sesuatu. Sekarang kami perlu tengok apa kekurangan tersebut.

“Kami menang aksi pembukaan musim ini tetapi ia belum cukup untuk memenangi liga. Kami perlu berikan segala-galanya dalam setiap perlawanan, termasuk ketika melayan kunjungan Leeds nanti,” katanya.

Bintang Perancis itu turut menolak dakwaan ramai pihak yang mendakwa Arsenal hanya mengharapkan situasi bola mati untuk menjaringkan gol selain menganggap trofi mampu menjadi pelengkap The Gunners.

“Kami mahu menjaringkan gol dalam setiap situasi, tidak kira sama ada sepakan penjuru ataupun serangan balas pantas. Kami memang bermain baik ketika ini, cuma tidak disusuli dengan trofi,” ujar Saliba. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI