KUALA LANGAT – Ibu kepada Muhammad Danish Shamsul Sharizan, 16, yang maut dalam nahas di Jalan Sultan Suleiman Shah, Kampung Chodoi, Banting di sini hari ini menyifatkan arwah sebagai anak harapan keluarga.
Roszainida Hassan, 40, berkata, ini kerana anak sulung daripada lima beradik itu mengambil alih tugas ketua keluarga selepas suaminya, Shamsul Sharizan Salam, 43, terlantar akibat masalah kesihatan.
Katanya, sebelum kejadian, arwah anaknya memaklumkan mahu keluar membaiki motosikal di sebuah bengkel pada pukul 10 malam.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa. Dia pandu kereta suami. Saya sempat berpesan supaya hati-hati. Namun, tak sangka berlaku kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Banting di sini hari ini.
Menurut Roszainida, arwah anak yang bertanggungjawab dan melakukan pelbagai kerja bagi membantu keluarga termasuk menampung perbelanjaan adik perempuannya berusia 14 tahun yang menghidap barah rahim.
“Saya bekerja mengambil dan menghantar murid sekolah dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Saya perlu berulang-alik hantar anak kedua ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatannya.
“Arwah yang banyak membantu membayar pinjaman rumah, beli barang, memasak dan menguruskan anak-anak. Dia ‘tulang belakang’ kami. Kehilangannya memang dirasai, berat sungguh ujian kami,” ujarnya.
Jelasnya, disebabkan sikap ketanggungjawaban arwah yang tinggi, remaja itu kadangkala terpaksa ponteng dan melakukan kerja membaiki motosikal bagi membantu kewangan keluarga.
Sementara itu, Nururrarizikiah Jantan, 47, memaklumkan, tragedi itu benar-benar meruntun hatinya selepas kehilangan anak ketiga, Hariz Nazri, 19.
Seorang lagi anaknya, Danish Haikal Nazri, 17, pula sedang bertarung nyawa di Zon Merah, Hospital Banting.
“Arwah Hariz baru pulang dari bekerja sebagai mekanik di bengkel berhampiran rumah di Batu Kebun 9, Telok Panglima Garang.
“Saya ingat Hariz dan Danish Haikal keluar dekat sahaja (kawasan berdekatan) bersama rakan-rakan. Saya kena kuat semangat dan berharap seorang lagi anak selamat,” katanya.
Tambahnya, dia terpaksa mengesahkan identiti Danish Haikal selepas doktor menunjukkan kad pengenalan anaknya.
“Doktor memaklumkan kedua-dua kaki dan tangan kirinya patah. Terdapat kecederaan pada otaknya dan dia terpaksa ditidurkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE