KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kehadiran beberapa pegawai di kediaman penyanyi, Caprice baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, ia bertujuan bagi menyerahkan surat panggil saksi kepadanya di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.
Menurut Fadil, tindakan itu dibuat susulan laporan yang diterima pihaknya ke atas penyanyi rap berkenaan daripada seorang lelaki berusia 33 tahun pada 31 Julai lalu.
“Pihak polis mengesahkan menerima laporan ke atas hantaran jelik dari seorang individu (Caprice) melalui hantaran di media sosial Instagram.
“Hantaran yang diterima oleh pengadu berunsur serangan dalam komen, mesej kebencian, tuduhan dan kecaman yang memfitnah watak serta reputasi pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Fadil berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Semalam, polis mengesan sebuah video tular berdurasi tiga minit sembilan saat dimuat naik di Instagram @capricedaddycap memaparkan beberapa orang pegawai polis hadir ke kediamannya.
Dalam hantaran terbabit, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 37, dilihat cuba menghubungi pihak polis dan meminta maklumat bagi mengetahui tujuan kehadiran pegawai berkenaan. – KOSMO! ONLINE